A'kum wrt. wbrt.
Saya ingin tahu berkenaan Hukum INSURAN NYAWA dalam Islam, kerana ada
kemusykilan terhadap perkara ini. Adakah ianya sunnah drpd. Rasullah s.a.w
atau sebaliknya ?
Jawapan:
Wa alaikumussalam wr wb
Persoalan insuran telah menarik minat ramai cerdik pandai Islam untuk
mengutarakan pandangan mereka mengenai hukumnya. Tidak dapat dinafikan,
ulama’ memang berbeza pendapat di dalam hal ini. Ada yang mengatakan
haram dan ada juga yang menganngapnya harus di sisi syara’. Untuk
melihat persoalan ini, didatangkan pandangan mengenai insuran nyawa
konvensional dan syarikat takaful.
Perbahasan Insuran Nyawa Konvensional
Secara am insuran ditakrifkan sebagai satu pakatan oleh sekumpulan ahli
untuk mewujudkan satu tabung atau dana kewangan bersama yang khusus bagi
tujuan membantu ahli ketika ditimpa musibah. Amalan seumpama ini selaras
dengan tuntutan Islam. Kerjasama, saling bantu membantu dan prihatin
kepada golongan yang memerlukan bantuan kerana seperti yang tersirat dalam
konsep insuran adalah selari dengan tuntutan Islam, sebagaimana maksud
hadis yang berbunyi:
“Sesungguhnya seseorang yang beriman ialah sesiapa yang boleh memberi
keselamatan dan perlindungan terhadap harta dan jiwa raga manusia” (Riwayat
Ibnu Majah).
Konsep insuran sudah lama dipraktikkan. Dalam zaman Jahiliyyah ia adalah
antara beberapa bentuk amalan kerjasama di kalangan puak atau suku kaum
Arab sebagai strategi mambantu sesama mereka apabila ada anggota atau ahli
yang menanggung kesusahan, seperti pembunuhan, penculikan, rompakan dan
sebagainya. Malahan kini diperakui bahawa insuran telah berkembang
daripada amalan Islam. Walaubagaimanapun ulama umumnya sepakat bahawa
operasi insuran dalam bentuknya sekarang tidak menepati hukum syarak. Jika
konsep insuran diterima Islam, mengapa pula operasi seperti yang ada dalam
pelbagai jenis polisi yang disediakan oleh syarikat insuran sekarang
didapati bercanggah dengan kehendak syarak.
Walaupun konsep insurans sudah lama dipraktikkan, tetapi para fuqaha’
zaman dahulu tidak membincangkan secara langsung mengenai hukum
membabitkan diri dalam sistem ini. Kebanyakan pandangan dan hukum mengenai
insuran ini dibahaskan oleh para fuqaha’ mu‘asar (masa kini). Ia juga
tidak dikategorikan sebagai sunnah Rasul SAW.
Jawatankuasa Fatwa, Majlis Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan, dalam
mesyuarat pada 15 Jun 1972, memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana
dijalankan oleh syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah suatu
muamalat yang fasid kerana tidak sesuai dengan prinsip Islam dari segi
aqadnya, kerana mengandungi unsur yang tidak Islamik; yang mana hukumnya
menurut syariat Islam adalah HARAM. Selain itu, Kesatuan Fiqh Islam (Majma’
Fiqh) yang mana anggotanya terdiri daripada ulama’ dari seluruh dunia
Islam termasuk Malaysia dan diasaskan dibawah Persidangan Pertubuhan
Negara-negara Islam (OIC), dalam mesyuaratnya di Jeddah pada 22-28
Disember 1995 memutuskan selepas mengkaji semua jenis dan bentuk insurans,
bahawa kontrak perniagaan insurans yang disediakan oleh syarikat insurans
mengandungi unsur yang membawa kepada fasid.
Jelas, menurut Majma’ Fiqh, ia HARAM di sisi syarak. Daripada kedua-dua
keputusan, ini jelas menunjukkan ulama’ sependapat bahawa kedua-dua
jenis perniagaan insurans nyawa dan am adalah tidak menepati landasan
syariah. Ini kerana polisi insurans adalah kontrak atau akad jual beli. Di
bawah urusan transaksinya, pembeli yang dipanggil pemegang polisi
dikehendaki membayar wang premium sebagai harga kepada syarikat insurans
yang menjual polisi insurans yang menyediakan faedah perlindungan sama ada
untuk diri (nyawa) atau harta benda pemegang polisi itu sendiri. Jual beli
dalam Islam mempunyai rukun tertentu. Sekiranya salah satu rukun itu tidak
dipenuhi, maka akad jual beli dikira tidak sempurna dan boleh membatalkan
akad tersebut.
Dalam kontrak jual beli insurans, salah satu rukun yang tidak sempurna
ialah yang berkaitan dengan ma’qud ‘alaih (apa yang diakadkan).
Perkara atau apa yang diakadkan, yang dibeli atau dijual, mestilah jelas
dan tidak mengadungi unsur ‘gharar’. Jika rukun ini tidak dipenuhi,
maka akad jual beli menjadi cacat. Gharar dilarang oleh Rasulullah SAW
mengikut sabda baginda yang bermaksud:
“Rasulullah SAW melarang jual beli secara baling batu (al-hasah) dan
jual beli barang yang tidak pasti (al-gharar) ” (Riwayat Muslim).
Sehubungan itu, ulama’ menjelaskan maksud gharar dalam salah satu
daripada tiga keadaan berikut;
1. Tiada barang yang dijual beli (akad jual beli tanpa barang).
2. Ada barang tetapi tidak boleh diserah kepada pembeli, dan
3. Ada barang dan ia boleh diserahkan kepada pembeli tetapi ia tidak dapat
ditentukan atau tidak jelas sama ada sifatnya, caranya, banyaknya atau
lain-lain.
Dalam masalah ini, ulama’ berpendapat perkara ke-3 di atas menunjukkan
ada unsur gharar dalam konteks jual beli insurans. Dalam setiap urusan,
Islam sentiasa menekankan kepada prinsip keadilan dan kebaikan. Unsur
gharar menafikan kedua-dua prinsip ini. Mana-mana kontrak jual beli yang
mengandugi amalan atau mengenakan syarat berat sebelah dan kesannya boleh
membawa kerugian kepada sebelah pihak sahaja adalh jual beli gharar.
Misalnya, syarat yang menetapkan luputnya wang pembeli atau pengembalian
wang tidak mengikut kiraan yang adil, sekiranya pembeli terbabit tidak
memenuhi kewajipan,tempoh atau tanggungjawab tertentu seperti membatalkan
atau memecahkan akad sebelum genap tempoh yang dipersetujui. Urusan jual
beli seperti ini, tidak mengambil kira langsung kepentingan keadilan dan
kebaikan kepada akid atau pihak-pihak yang berakad, lebih-lebih lagi
pembeli yang menyumbangkan wang.
Kaedah Takaful
Berbeza dengan insurans, operasi takaful sebagai satu bentuk perniagaan
adalah tidak berasas kepada akad jual beli semata-mata. Dalam hubungan ini,
peserta takaful tidak membeli produk takaful daripada syarikat takaful dan
sebaliknya syarikat takaful tidak menjual produk itu seperti
syarikat-syarikat insurans menjual polisi insurans. Apa pun konsep takaful,
seperti insurans, tetap mementingkan dan menghayati amalan kerjasama,
tolong-menolong, setiakawan atau ringkasnya saling jamin menjamin diantara
mereka.
Umumnya, struktur perjalanan takaful tidak banyak berbeza dengan insurans.
Disatu pihak ada peserta yang melanggani produk takaful daripada pihak
yang menyediakan produk itu, iaitu syarikat takaful. Kedua-dua pihak ini
akan memeteraikan akad. Oleh kerana wang sumbangan dibayar oleh peserta
dengan tujuan untuk menabung dan mendapat untung sambil berniat untuk
membantu rakan peserta yang memerlukan bantuan ketika ditimpa musibah,
maka operasi takaful lebih berbentuk satu usaha pelaburan.
Oleh yang demikian wang sumbangan peserta tidak menjadi hak syarikat.
Sedangkan di bawah system jual beli insurans, wang premium menjadi hak
syarikat insurans sebagai balasan pemegang polisi membeli polisi insurans
daripada syarikat berkenaan. Sesuai dengan struktur operasinya, ulama’
memutuskan bahawa akad takaful adalah HARUS berasaskan prinsip al-Mudharabah
atau berkongsi untung dalam perniagaan. Peserta akan berhak mendapat
untung daripada bahagian tabungan atas pulangan pelaburan yang dijalankan
oleh syarikat takaful. Diwaktu yang sama, peserta juga bersetuju
menyumbang sebagai tabarru’ (derma) sebahagian daripada sumbangannya dan
untung pelaburan ke atasnya bagi tujuan membantu rakan peserta yang ditimpa
kesusahan.
Wallahu a'alam
Dipetik dari http://www.e-ulama.org (Persatuan
Ulama Malaysia)
lihat:
1.al-ahkam online
2. islam online